Tentang RoIPMARS

Malaysian Amateur Radio over Internet Protocol Society

PENGENALAN

Kami adalah Penyedia Perkhidmatan Pelayan TeamSpeak3 untuk sarana komunikasi alternatif kepada pengendali Stesen Amatur dan juga Komersial untuk komunikasi antara satu sama lain walau dimana sahaja berada samada menggunakan kaedah RoIP atau VoIP.

TUJUAN

Merapatkan hubungan siraturahim antara stesen seluruh dunia disamping menguji peralatan masing-masing serta komunikasi antara satu sama lain.

PENGENALAN RADIO AMATUR

  1. Radio Amatur ditakrifkan di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (SPEKTRUM) 2000 [P.U.(A) 128/2000].
    1. Perkhidmatan Radio Komunikasi (termasuk Bumi (Tanah) & Satelit).
    2. Di mana kegunaan stesen dengan tujuan latihan sendiri, komunikasi dan penyiasatan teknikal.
    3. Dijalankan oleh seseorang yang berkelayakan yang mempunyai keinginan mendalami teknik radio diatas usaha peribadi dan tidak mempunyai niat yang lain.
  2. Radio Amatur juga diiktiraf sebagai salah satu peralatan komunikasi radio yang mana ITU (International Telecommunication Union) memantau dan menyediakan jalur khas untuk perkhidmatan Radio Amatur yang mana jalur tersebut dapat digunakan diseluruh dunia.
  3. Pengendali Radio Amatur mesti memberikan perkhidmatan bagi membantu kerajaan sesebuah negara ketika berlakunya bencana sekiranya sistem komunikasi yang lain tidak boleh berfungsi atau tiada kemudahan komunikasi yang lain.
  4. Salah satu kehebatan yang ada pada Radio Amatur ialah: ‘perasaan muhibah antarabangsa’ diantara rakan HAM seluruh dunia dengan ikatan persaudaraan antara manusia sejagat tanpa mengira golongan, bangsa, jantina, pangkat & kedudukan.

ETIKA RADIO AMATUR

BERTIMBANG RASATidak pernah secara sedar beroperasi untuk mengurangkan keseronokan orang lain.
SETIAMenawarkan kesetiaan, galakan dan sokongan kepada amatur lain, kelab tempatan, Persatuan Radio IARU, yang melalui Persatuan Radio Amatur di negaranya diwakili di peringkat nasional dan antarabangsa.
PROGRESIFMemastikan stesennya dikemas kini. Ia dibina dengan baik dan efisien. Amalan pengendaliannya tidak boleh dicela.
MESRABeroperasi dengan perlahan dan sabar apabila diminta; menawarkan nasihat mesra kepada pemula; bantuan, kerjasama dan pertimbangan yang baik untuk kepentingan bersama.
SEIMBANGRadio adalah hobi, tidak pernah mengganggu tugas yang terhutang kepada keluarga, pekerjaan, sekolah atau masyarakat.
PATRIOTIKStesen dan kemahirannya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

– diadaptasi daripada Etika Amatur asal, yang ditulis oleh Paul M. Segal, W9EEA, pada 1928

PERKARA-PERKARA YANG DILARANG SEMASA MENGENDALIKAN STESEN RADIO AMATUR

  1. Stesen Radio Amatur dilarang menggunakan Radio Amatur untuk tujuan komersil.
  2. Menyiarkan sebarang bahan yang telah sedia ada berupa lagu, percakapan, berita atau apa sahaja yang berkaitan (ulang siar).

PERKARA-PERKARA YANG DIBENARKAN SEMASA PENGENDALIAN STESEN RADIO AMATUR

  1. Komunikasi dengan stesen radio amatur diseluruh dunia dengan menggunakan Radio HF dan satelit.
  2. Komunikasi di antara bandar-bandar tempatan dengan menggunakan radio pemancar VHF dan UHF.
  3. Memberi khidmat komunikasi ketika berlakunya bencana sekiranya tidak terdapat alat komunikasi yang lain atau alat komunikasi yang lain tidak berfungsi.
  4. Pembuatan sendiri Radio, Pancaran, Penerimaan dan Antena.
  5. Komunikasi di dalam orbit satelit tanpa sebarang kos.
  6. Komunikasi dengan angkasawan ketika mengelilinggi dunia.
  7. Kajian mengenai TV Amatur, Slow Scan TV atau menghantar gambar potret dengan mengunakan faksimili.
  8. Mengambil bahagian di dalam sebarang pertandingan Radio Ham atau mengadakan peralatan tunjuk arah.
  9. Mengambil bahagian di dalam aktiviti mencari dan menyelamat.
  10. Memancarkan dan menyebarkan berita-berita semasa berkaitan persekitaran mereka sendiri umpamanya berita kematian, bencana, aktiviti masyarakat dan apa sahaja informasi yang memberi faedah umum.

Saluran Amatur VHF

Kod Q yang selalu digunakan


Suapan Langsung Rangkaian RoIPMARS

Memuatkan...

Coretan Kisah Kami

Sekiranya anda ada kisah atau kenangan bersama kami, ceritakan ke [email protected].

  • CQ 9M66MK 27 Ogos 2023
    RoIPMARS™ dengan nama Persatuan Peminat Radio Komunikasi (ROIP) menerima hasrat dari wakil Kelab Radio Amatur Jalan Klang Lama, Kelab Komunikasi Radio Amatur Kuala Muda & YOTA Malaysia untuk menggunakan jaringan RoIPMARS semasa aktiviti Tahunan CQ Hari Kebangsaan kali ke-66.
  • Ahli Gabungan MARTS 24 Mei 2023
    RoIPMARS™ dengan nama Persatuan Peminat Radio Komunikasi (ROIP) secara sah menjadi Ahli Gabungan Malaysia Amateur Radio Transmitter' Society (MARTS).
  • Malaysia Peak To Peak [My-PTP] 18 Mac 2023
    RoIPMARS™ diwakilkan oleh ahli (9W8ZZK) dalam acara 'Malaysia Peak To Peak' dengan kerjasama Malaysia Amateur Radio Transmitter' Society (MARTS) yang dijalankan bersama Pasukan SOTA Sarawak di Bukit Selang, Telaga Air, Kuching, Sarawak.
  • Perjumpaan Santai PPRK 18 Februari 2023
    Buat pertama kali secara rasmi, Persatuan Peminat Radio Komunikasi menganjurkan Perjumpaan Santai Penggiat dan Peminat Radio Komunikasi yang berlansung di Kalumpang Resort & Training Centre, Hulu Selangor.
    Antara pengisian acara adalah Pameran 'Radio Over Internet Protocol' (RoIP), BBQ, Karaoke, dan Cabutan Bertuah disamping dapat mengenal dengan lebih dekat dan mengeratkan lagi silaturrahim antara Penggiat dan Peminat Radio Komunikasi.
  • Peraturan KMM (Spektrum) Pindaan 2022 01 Januari 2023
    Selaras dengan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang diluluskan pada 25 April 2022 [KKMM.600-1/4/8; PN(PU2)601/J1d. 12] dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 (iaitu bagi peruntukan yang berkaitan dengan radio amatur), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa terdapat perubahan kepada struktur perakuan pengendali radio amatur di Malaysia iaitu:
    i.Format peperiksaan
    ii.Silibus peperiksaan
    iii.Syarat kelayakan untuk menduduki peperiksaan
    iv.Pengenalan kepada Kelas C
    v.Ujian Kod Morse untuk menaik taraf ke Kelas A digantikan dengan peperiksaan pilihan jawapan berkomputer
    vi.Penggunaan frekuensi dan had kuasa pancaran bagi setiap kelas
    Perubahan kepada struktur ini adalah untuk memastikan perakuan pengendali radio amatur yang diadakan di Malaysia sejajar dengan latihan yang diamalkan di negara-negara lain. Perubahan ini juga bertujuan untuk menggalakkan minat dari kalangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui radio amatur dan menjurus kepada peningkatan pengendali radio amatur yang dapat membantu ketika bencana.
    Siaran Akhbar MCMC Pengumuman MCMC
    Dukacita dimaklumkan, selaras dengan perubahan format & silibus peperiksaan, Akademi 9M dihentikan khidmatnya bagi membantu pengendali radio amatur menaiktaraf kelas mereka. Sejak memulakan Akademi 9M, seramai lebih 70 pengendali telahpun dilahirkan antaranya: 9M2MWZ, 9M2NUZ, 9M2SFF, 9M2VJP, 9M2VVH, 9M2BUN, 9M6RDY, 9M6AUA, 9M6JAY, 9M6RMD, 9M2KZI, dan ramai lagi.
  • Perolehan Aset Pelayan 01 September 2022
    Bermula daripada 27 Julai 2022 pihak Jawatankuasa dibawah kelolaan Biro Pengurusan Pelayan berjaya memperoleh pelayan berasaskan 'Windows Server' yang disewa atas nama pertubuhan di Pusat Data Cyberjaya dan mula membuat peralihan maklumat dari pelayan sebelum ini [roipmars.com] (milik peribadi) ke pelayan semasa [roipmars.org.my] (milik persatuan). Setelah kerja-kerja peralihan dan percubaan serta ujian penggunaan & beban tinggi yang dijalankan, tepat pada jam 6 pagi 01 September 2022 [roipmars.org.my] bersedia memberikan perkhidmatannya kepada semua Penggiat & Peminat Radio Komunikasi dari seluruh dunia pada bila-bila masa dimana sahaja.
    Baca lanjut...
  • CQ 9M65MB 30 Ogos 2022
    Jemputan dari Komuniti Radio Amatur Sungai Buloh dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia yang diwakilkan oleh komuniti RoIPDarulAman untuk mengadakan pameran 'Radio over Internet Protocol' (RoIP) semasa Sambutan Malam Hari Kebangsaan kali ke-65 yang berlansung di Paya Jaras, Sungai Buloh.
  • BOTA Lumut 16 Mac 2022
    Jemputan dari komuniti RoIPDarulAman bagi menjayakan Beach On The Air (BOTA) yang berlansung di Pantai Kg. Acheh, Lumut, Perak.
  • CQ 9M64MB 20 Ogos 2021
    Persatuan Peminat Radio Komunikasi diberi kepercayaan oleh Malaysian Amateur Radio Transmitter's Society (MARTS) untuk mengendalikan Isyarat Panggilan Khas Negeri Selangor bersempena dengan Hari Kebangsaan kali ke-64 (9M64MB) bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik antara penggiat komunikasi radio seluruh Malaysia. Aktiviti dijalankan selama 6 hari berturut-turut dari 27 Ogos 2021 hingga 1 September 2021 di 'All Band All Mode'.QRZ DX News 9MDXC
  • Masih PKP Awal 2021
    Peningkatan kes COVID-19 dengan pertumbuhan varian baru yang merisaukan diseluruh dunia, pergerakan kami terbatas untuk melakukan apa-apa aktiviti berkumpulan di luar. Biro Siaraya dan pentadbir pelayan serta semua jawatankuasa terus komited untuk mengekalkan aktiviti dalam talian bagi menarik minat penggiat dan peminat radio komunikasi agar kekal relevan sepanjang zaman.
  • Pendaftaran Organisasi 01 Jun 2020
    Cubaan untuk mendaftarkan organisasi tidak semudah yang disangka. Ianya memakan masa hampir setengah dekad dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalaman mahupun luaran yang perlu ditempuh. Bagaimanapun, Pengerusi (Ustaz Zulkifli Abu) dengan bantuan Setiausahanya (Hafizi Ruslan) dan semua jawatankuasa berpendirian teguh ingin meneruskan proses pendaftaran organisasi sehingga diperakui sah oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
    Akhirnya, dengan segala usaha dan bantuan yang diberikan, tepat pada jam 10 pagi 1 Jun 2020, organisasi berjaya didaftarkan secara sah dengan
    Nama Pertubuhan
    PERSATUAN PEMINAT RADIO KOMUNIKASI (ROIP(RADIO OVER INTERNET PROTOCOL))
    No. Pendaftaran
    PPM-006-10-01062020
    dan mengekalkan RoIPMARS sebagai jenamanya. Jawatankuasa yang sah berdaftar seramai 9 orang terdiri daripada:
    9W2UZLPengerusi
    9W2OGKTimbalan Pengerusi
    9W2LGXSetiausaha
    9W2SFFPenolong Setiausaha
    9W2ELMBendahari
    9W2UBE
    9W6MOZ
    9W8ZZK
    9W8VWW
    AJK
    Baca lanjut...
  • Perintah Kawalan Pergerakan April 2020
    Berkuat kuasa pada 18 Mac 2020, Malaysia secara rasmi melaksanakan langkah kawalan pergerakan. Kami juga turut terkesan dari PKP ini disebabkan ramai pengguna mula mencari kaedah komunikasi dengan pantas. Kami memperkenalkan perkhidmatan penstriman baharu bernama 'TS-Video Conference' yang membolehkan persidangan video semasa komunikasi di pelayan kami.
    Beban pada pelayan mulai meningkat apabila ramai mula berkerja dari rumah. Pentadbir pelayan kekal komited untuk memberikan servis dan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna pada bila-bila masa dimana sahaja.
    Baca lanjut...
  • Naik Taraf Pelayan September 2019
    Berlaku pertukaran dan naik taraf sistem pelayan 'Linux' ke 'Windows Server' dengan spesifikasi yang lebih tinggi bagi menampung segala servis yang ditawarkan untuk pengguna komuniti. Antara aplikasi yang dihoskan adalah 'TeamSpeak3', 'eQSO', 'Free Radio Network', dan 'Mumble'. Pada masa sama, penggunaan laman sesawang bagi mendapatkan maklumat terkini mula diterapkan.
  • Lawatan dari Selatan Thailand 23 Feb 2019
    Jemputan dari komuniti RoIPDarulAman bagi meraikan sahabat radio amatur dari Selatan Thailand dalam Kembara Berbasikal Thailand ke Malaysia yang berlansung di Kalumpang Resort & Training Centre, Hulu Selangor.
  • KRTC 05 Dis 2018
    Syarikat Kalumpang Resort & Training Centre (KRTC) juga pernah membuat permohonan pelayan TeamSpeak3 untuk penggunaan pekerjanya berhubung antara satu sama lain.
  • Akademi 9M Akhir 2018
    Idea Asal Akademi 9M (Akademi NineMike) bermula dari kelas pembuatan antaramuka ROIP oleh 9W2UZL. Lalu dijenamakan ke 'Discussion Class A', 'Pembelajaran Kelas A', dan akhirnya beralih ke 'AKADEMI 9M' sejak akhir 2018 yang diterajui oleh 9M2RAN & 9M2VBC.Konsep asal yang dibawakan akademi ini adalah bagi membantu dan memberi khidmat latihan kepada pengendali radio amatur supaya lulus peperiksaan naik taraf kelas (OCW).
  • JASRA 30 Okt 2018
    Permohonan pihak Persatuan Jalur Selatan Radio Amatur Johor (JASRA) untuk menghubungkan jaringan dua hala antara RoIPMARS™ dan pengulang mereka bagi menyemarakkan lagi aktiviti yang dijalankan di kedua-dua platform.
  • Promosi ROIP bersama ASTRA 21 Okt 2018
    Usaha terus dijalankan untuk mempromosikan RoIPMARS™ dimana kami dijemput untuk memberikan penerangan berkenaan ROIP & VOIP di acara Mesyuarat Agung Persatuan Radio Amator Melayu Semenanjung Utara Malaysia (ASTRA) kali ke-20 & Jamboree-On-The-Air® (JOTA) ke-61 dan Jamboree-On-The-Internet® (JOTI) ke-22 pada 19-21 Oktober 2018 yang bertempat di Guar Cempedak, Yan, Kedah.
  • RoIPMARS™ Awal 2018
    MARDS gagal didaftarkan berpunca daripada beberapa masalah yang berlaku pada ketika itu. Tidak lama kemudian, sekali lagi penjenamaan dilakukan dengan lantikan Jawatankuasa Penaja Malaysian Amateur ROIP Society (MARS) seramai 19 orang yang terdiri daripada:
    9W2UZLPresiden
    9W2ZECTimbalan Presiden
    9W8ZZKSetiausaha
    9W2PIOPenolong Setiausaha
    9W2NUZBendahari
    9W2OGK
    9W2BUN
    9W2XQO
    Biro Siaraya
    9W2TVEBiro Ekonomi
    9M2MBT
    9W2JE
    9W2OTB
    9W2OOL
    9W2ZDP
    9W2DJM
    AJK Domestik
    V85ABK
    HS9QMG
    AJK Antarabangsa
    9M2RAN
    9W2SMF
    Penasihat
    9M2RMTStation Master
    Visi dan Misi RoIPMARS™ adalah untuk membawa nama Malaysia ke persada Antarabangsa dalam Teknologi Komunikasi Radio Dua Hala.
    Dalam waktu yang sama, pelayan berasaskan Linux yang berada di Perancis mengalami masalah sambungan kependaman tinggi terhadap pengguna lalu dipindahkan kembali ke Pusat Data di Malaysia bagi mengatasi risiko kualiti sambungan dan didaftarkan dengan nama roipmars.com.
  • MARDS 2017
    Hasrat beberapa ahli komuniti untuk mendaftarkan MeDiC sebagai satu organisasi yang sah di Malaysia terjadi apabila berlaku lantikan Jawatankuasa Penaja Malaysian Amateur Radio Digital Society (MARDS) seramai 15 orang yang terdiri daripada:
    9W2UZLPresiden
    9W2ZECTimbalan Presiden
    9W8ZZKSetiausaha
    9W2PIOPenolong Setiausaha
    9W2DJMBendahari
    9W2OGKBiro Siaraya
    9M2MBT
    9W2JE
    9W2NDI
    9W2TVE
    9W2OOL
    9W2ZDP
    9W2BUN
    AJK Domestik
    V85ABK
    HS9QMG
    AJK Antarabangsa
    Motto yang dibawakan oleh MARD'S adalah 'Jika Bukan Kita Siapa Lagi, Jika Bukan Sekarang Bila Lagi'.
    Pada waktu yang sama, pelayan yang berasaskan Linux yang berada di Singapura mengalami masalah waktu operasi lalu dipindahkan ke Pusat Data di Perancis bagi mengatasi masalah tersebut.
  • Mula Diterima Ramai 2016
    MeDiC sempat menjadi salah satu komuniti yang dikenali ramai oleh penggiat teknologi komunikasi radio di Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Selatan Thailand satu ketika dahulu. Konsep 5M yang dibawakan oleh MeDiC adalah:
    MUDAH
    MURAH
    MERIAH
    MENJAGA HUBUNGAN
    MENGUASAI ILMU
    Pada waktu sama, pelayan TeamSpeak yang berada di kediaman 9W2UZL mengalami masalah beban & muatan tinggi menjejaskan sambungan & kualiti terhadap pengguna di Asia Tenggara khasnya Malaysia dipindahkan ke Pusat Data di Singapura bagi mengatasi masalah tersebut.
  • Komuniti MeDiC Awal 2015
    Malaysian eQSO Digital Community (MeDiC) adalah antara komuniti yang memperkenalkan teknologi komunikasi digital kepada radio amatur di Malaysia. Antara ahli komuniti yang terawal adalah 9W2UZL, 9W2ZEC, 9W8ZZK, 9W2OGK, 9W2NDI, dan V85ABK.Banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi ahli komuniti untuk memperoleh kepercayaan rakan radio amatur terhadap teknologi baru yang semakin pesat membangun. Walau bagaimanapun, mereka tidak patah semangat untuk terus mencuba bagi memperoleh kepercayaan penggiat radio amatur untuk menggunakan teknologi baru.
  • Pengenalan Akhir 2014
    TeamSpeak3 mula diperkenalkan di Malaysia untuk khidmat komunikasi Amatur dan Komersial oleh 9W2UZL (Zulkifli Abu) yang pelayannya dihoskan sendiri oleh beliau di kediamannya di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. Bermula terbentuk beberapa rakan radio amatur yang berminat dengan teknologi komunikasi radio alaf baru dengan konsep Murah & Meriah apabila diperkenalkan dari rakan ke rakan yang lain.

Sekiranya anda ada kisah atau kenangan bersama kami, ceritakan ke [email protected].